Pengelasan tradisional Protis

Secara tradisi (selama 150 tahun yang lalu), protis telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan persamaan dengan alam peringkat tinggi: protozoa yang seakan-akan haiwan, alga yang seakan-akan tumbuhan, dan kulapuk lendir dan kulat air yang seakan-akan kulat. Kumpulan-kumpulan ini sering bertindih, dan telah digantikan dengan pengelasan-pengelasan filogenetik. Bagaimanapun, kumpulan-kumpulan ini masih amat berguna sebagai kumpulan tak formal untuk memerihalkan morfologi dan ekologi protis.

Protozoa

Kebanyakan protozoa merupakan protis unisel dan motil yang makan melalui fagositosis, walaupun terdapat banyak kekecualian. Protozoa biasanya hanya mempunyai saiz sebanyak 0.01-0.5 milimeter, dan secara amnya adalah terlalu kecil untuk dilihat tanpa mikroskop. Organisma ini sentiasa boleh didapati di persekitaran berair dan tanah, dan biasanya bertahan tempoh-tempoh kering sebagai sista atau spora, dan termasuk banyak parasit yang penting. Berdasarkan gerak alih, protozoa dapat dibahagikan sebagai berikut:


KumpulanSifatContoh
Flagelatflagelum yang panjangEuglena
Ameboidpseudopod sementaraAmoeba
Siliatberbilang silium yang pendekParamesium
Sporozoaparasit tak motil; membentukkan sporaPlasmodium

Alga

Alga mengumpulkan tenaga cahaya melalui fotosintesis dan merangkumi banyak organisma unisel yang juga dianggap sebagai protozoa, umpamanya Euglena, yang telah memperoleh kloroplas melalui endosimbiosis sekunder. Alga-alga yang lain tidak motil, dan sesetengah alga (digelarkan rumpai laut) adalah multisel yang benar, termasuk ahli-ahli dalam kumpulan yang berikut:


KumpulanSifatContoh
Klorofitalga hijau yang berkait dengan
tumbuhan peringkat tinggi
Ulva
Rodofitalga merahPorfira
Heterokonalga perang, diatom, dllMakrosista


Alga hijau dan merah, bersama-sama dengan sekumpulan kecil yang digelarkan glaukofit, kelihatan mempunyai hubungan yang rapat dengan tumbuhan yang lain dan oleh itu, sebilangan pengarang mengolahkan kumpulan ini sebagai tumbuhan walaupun kumpulan ini mempunyai organisasi yang sederhana. Bagaimanapun, kebanyakan jenis alga berkembang secara berasingan. Kumpulan ini merangkumi haptofit, kriptomonad, dinoflagelat, euglenid, dan klorarakniofit, dan kesemua ini juga dianggap sebagai protozoa.

Perhatikan bahawa sesetengah protozoa merupakan perumah kepada alga endosimbiosis, umpamanya Paramesium bursaria atau radiolaria, yang memberikan tenaga kepada alga itu, tetapi tidak mengintegrasikannya ke dalam sel.

Protis seakan-akan kulat

Berbagai-bagai organisma dengan organisasi peringkat protis pada asalnya diolahkan sebagai kulat kerana organisma-organisma itu menghasilkan sporangium. Organisma-organisma ini termasuk kitrid, kulapuk lendir, kulat air, dan Labirintulomiset. Di kalangan ini, kitrid kini diketahui mempunyai hubungan dengan kulat yang lain dan biasanya dikelaskan dengan kulat-kulat itu. Yang lain kini dikelaskan bersama-sama dengan heterokon (yang mempunyai selulosa berbanding dinding kitin) dan Amoebozoa (yang tidak mempunyai dinding sel).